Sejarah Labuan Secara Ringkas

SEJARAH LABUAN



Minat British terhadap Borneo Utara dihidupkan semula selepas tempoh 40 tahun khususnya Labuan, sebuah pulau yang terletak di sebelah barat laut Borneo. Pada 1844, James Brooke berunding dengan Sultan Brunei tentang penyerahan pulau Labuan untuk digunakan oleh British sebagai tempat melombong batu arang di samping menjadikan satu pangkalan untuk membenteras kegiatan lanun serta meningkatkan perdagangan.

Pada 18 Disember 1846, satu perjanjian telah ditandatangani yang menyebabkan pulau Labuan dan pulau-pulau kecil yang berhampiran diserahkan buat selamanya oleh Sultan Brunei kepada pihak British. Brooke telah menjadi Gabenor Labuan yang pertama dan Konsul Besar di Borneo. William Napier dilantik menjadi Timbalan Gabenor, Hugh Low sebagai Setiausaha Kolonial dan Spencer St. John sebagai setiausaha sulit kepada Brooke. Labuan tidak mampu berkembang seperti mini Singapura atau Pulau Pinang, seperti yang diharapkan oleh pengasasnya.



Iklim yang tidak memuaskan, serangan malaria dan kekurangan kemudahan asas telah menjadi faktor penghalang kepada pembangunan pulau tersebut. Rentetan sejarah Labuan boleh dilihat daripada pelbagai perubahan pentadbirannya. Pada tahun 1890, Labuan telah diletakkan di bawah pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara British. Pada 1907, ia diletakkan di bawah kerajaan Negeri-negeri Selat. Selepas Perang Dunia Kedua, Labuan menjadi sebahagian daripada jajahan Borneo Utara. Kemudian pada 16 April 1984, Labuan telah menjadi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan Malaysia.

Syarikat Perdagangan Amerika (American Trading Company) dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British ( The British North Borneo Chartered Company)
Selepas kekecewaan British terhadap Labuan, minat British terhadap Borneo Utara pudar sehinggalah ke tahun 1881 apabila sebuah syarikat perdagangan, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mula mentadbir Borneo Utara. Walau bagaimanapun kehadiran mereka telahpun didahului oleh pengaruh dan minat Amerika buat seketika..

Pada 1865, seorang konsul Amerika di Brunei, Claude Lee Moses telah berjaya menyewa Borneo Utara dari Sultan Brunei untuk tempoh 10 tahun. Kemudian beliau menjualnya kepada Syarikat Perdagangan Amerika (American Trading Company) yang dimiliki oleh J.W.Torrey, T.B. Harris dan beberapa orang pedagang Cina. Torrey memilih Kimanis, satu kawasan di barat daya Borneo Utara sebagai pangkalannya dan memulakan pembinaan penempatan lalu dinamakan 'Ellena'. Usaha mencari bantuan kewangan bagi membiayai pembangunan penempatan tersebut gagal lalu ditinggalkan. Dengan hampir menjelangnya tamat tempoh sewaan wilayah tersebut, Torrey berhasil menjual haknya kepada konsul Austria di Hong Kong iaitu Baron Von Overbeck. Overbeck berjaya memperbaharui tempoh sewaan tersebut untuk 10 tahun dari Tumonggong Brunei. Selain itu, Overbeck berhasil mendapatkan bantuan kewangan dari Dent bersaudara (Dent brothers - Alfred and Edward) bagi menampung perbelanjaan rancangan yang dirancang untuk Borneo Utara. Beliau bersama Count Montgelas, dari Kedutaan Austro-Hungarian di London dan A.B. Mitford, seorang ahli politik kemudiannya telah memberi hak-hak mereka kepada Alfred Dent.
Pada 1888, Borneo Utara telah menjadi negeri naungan British di mana kerajaan British akan melindungi Borneo Utara di bawah pengaruh British. Pemerintahan Syarikat ini terhadap Borneo Utara telah memberi banyak pembangunan di kawasan ini. Borneo Utara diperintah melalui satu sistem secara hairaki (tidak langsung). Pada amnya pentadbiran berjalan dengan aman, namun begitu terdapat juga beberapa penentangan kecil. Penentangan yang serius termasuklah Perang Mat Salleh dari tahun 1894-1900 diikuti oleh penentangan Rundum yang dilakukan oleh suku Murut dalam tahun 1915.

Pihak BNBCC berupaya memerintah Borneo Utara sehingga 1942, selama 60 tahun apabila Perang Dunia Kedua tercetus. Tentera Jepun mendarat di Labuan pada 1 Januari dan menduduki Borneo Utara sehingga ia dibebaskan oleh askar dari ‘9th Division Australian Imperial Forces (A.I.F)’ pada tahun 1945. Selepas
Perang Dunia Kedua, Borneo Utara telah ditadbir oleh Pentadbiran Ketenteraan British (British Military Administration) sehingga 15 Julai 1946 apabila kerajaan sivil disambung semula.

Tanah Jajahan British (Crown Colony)

Pada 15 Julai 1946, Borneo Utara diletakkan di bawah jajahan British kerana BNBCC tidak mampu membina semula kemusnahan Borneo Utara selepas Perang Dunia Kedua. Kemusnahan teruk yang dialami oleh bandar Sandakan telah menyebabkan Jesselton dipilih sebagai ibu negeri selepas era Perang Dunia Kedua dan status ini kekal ke hari ini. Sistem pentadbiran penjajahan selepas perang adalah sama dengan sistem pentadbiran pada era BNBCC. Pembinaan semula dan pembangunan negeri Borneo Utara menjadi fokus utama para pentadbir.

Kemerdekaan

Pada amnya keadaan negeri Borneo Utara adalah aman dan tenang sehingga tahun 1960-an apabila wujudnya kesedaran politik. Keinginan kemerdekaan seperti yang dicapai oleh negara lain telah sampai ke Borneo Utara. Penyebaran semangat ini bermula dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1961 berkaitan dengan pembentukan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Borneo Utara, Sarawak, Brunei dan Singapura. Malaysia telah wujud dengan rasminya, tanpa Brunei, pada 16 September 1963 dan nama Borneo Utara telah ditukar kepada Sabah. Terlebih dahulu dari itu, Borneo Utara telah mencapai kemerdekaan dari British pada 31 0gos 1963. Bagaimanapun pada tahun 1965, Singapura keluar daripada Persekutuan Malaysia.

Penglibatan negeri Sabah dalam Persekutuan ini banyak membawa perubahan dari aspek pentadbiran, politik, sosial dan sebagainya. Sabah terus mengalami pembangunan yang pesat dan seterusnya memasuki era baru yang lagi mencabar sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia.


Dipetik daripada : Warisan Sabah : Pengenalan Ringkas Sejarah dan WarisanSabah. Jabatan Muzium Sabah, Kota Kinabalu.1992. 
Share on Google Plus

Admin Sofinah Lamudin

Admin blog ini berasal daripada Wilayah Persekutuan Labuan. Sebarang cadangan, kerjasama, persoalan, periklanan, tempahan perkhidmatan boleh hubungi alamat emel ini - labuanblogger@gmail.com .

0 Komen:

Post a Comment

Saya selaku admin blog ini tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang dibuat oleh pembaca. Sebarang komen berunsur negatif akan di padam dan sila hubungi saya di alamat emel : labuanblogger@gmail.com jika terdapat sebarang komen negatif dalam blog ini yang belum dipadamkan. Sekian terima kasih.