Peguam mohon semakan kes lelaki gantung anjing



PETALING JAYA: Dua peguam menggesa Mahkamah Tinggi menyemak semula kes seorang lelaki yang didenda RM40,000 kerana menggantung anjingnya di pokok, mengatakan kesilapan dalam pengadilan mungkin berlaku jika pengakuan bersalah diambil daripada seseorang yang disyaki tidak siuman.

Mereka menambah menjadi kebiasaan bagi hakim perbicaraan menentukan kesihatan mental tertuduh sebelum merakamkan pengakuan bersalah.

Peguam Baljit Sidhu berkata, Mahkamah Tinggi harus mengingat semula kes di bawah Seksyen 31 dan 35 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dan Seksyen 323 dan 325 Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

“Ini adalah kes yang tepat untuk disemak segera demi kepentingan keadilan berikutan media melaporkan tertuduh mungkin mengalami masalah kesihatan mental sebelum dia didakwa di mahkamah minggu ini,” tambahnya.

Muhammad Yoges Balaraman, 35, didenda RM40,000 sebagai ganti 12 bulan penjara setelah dia dirakam menggantung anjingnya di sebatang pokok di Banting, awal bulan ini.

Dia didakwa menyebabkan kesakitan atau penderitaan yang tidak perlu kepada anjingnya di bawah Seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga 3 tahun.

Dia dikatakan akan menjalani hukuman penjara kerana tidak mampu membayar denda.

Pada 7 Mei, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Azizan Tukiman berkata semakan rekod menunjukkan Yoges, yang tidak bekerja dan tinggal bersama keluarganya mendapatkan rawatan di Hospital Banting sejak 3 tahun lalu.

Baljit berkata mahkamah seharusnya menghantar lelaki itu menjalani penilaian psikiatri di hospital kerajaan.

Sementara itu, peguam A Srimurugan berkata majistret seharusnya memudahkan perkhidmatan peguam untuk Yoges dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Beliau juga berkata undang-undang kes dan juga Seksyen 342 CPS menyatakan tertuduh mesti dihantar ke hospital kerajaan untuk dinilai jika hakim mendapati ada sesuatu yang tidak kena.

“Orang itu harus berada di hospital selama sebulan,” tambahnya. “Ia adalah tugas doktor untuk menyediakan laporan untuk diserahkan kepada mahkamah untuk mengatakan sama ada tertuduh layak untuk dibicarakan.”

Sekiranya didapati tidak siuman, katanya, pihak berkuasa kesihatan akan menempatkan tertuduh di pusat kesihatan mental untuk rawatan.

Beliau turut memberi amaran Yoges boleh membahayakan dirinya dan banduan lain jika benar dia berada di dalam penjara.

Sumber: FMT

Share on Google Plus

Admin nazz

Admin blog ini berasal daripada Wilayah Persekutuan Labuan. Sebarang cadangan, kerjasama, persoalan, periklanan, tempahan perkhidmatan boleh hubungi alamat emel ini - labuanblogger@gmail.com .

0 Komen:

Post a Comment

Saya selaku admin blog ini tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang dibuat oleh pembaca. Sebarang komen berunsur negatif akan di padam dan sila hubungi saya di alamat emel : labuanblogger@gmail.com jika terdapat sebarang komen negatif dalam blog ini yang belum dipadamkan. Sekian terima kasih.