Kes tembak di Kota Kinabalu dilakukan oleh remaja NAKAL/BERMASALAH.

Petikan daripada http://www.bnbbc.my .






12 JAN: Pihak polis telah menubuhkan pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Omar Mamah bagi menyiasat secara terperinci kejadian menembak premis di sekitar Kota Kinabalu, Sabah Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin menegaskan kejadian itu tidak mempunyai kaitan dengan pengganas asing sebaliknya dilakukan oleh ‘tangan-tangan nakal’ kumpulan anak muda yang bermasalah.

“Belum ada sebarang tangkapan sehingga kini,” katanya menjawab soalan pemberita pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Pasir Gudang, Johor, oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Ahad.

Dalam kejadian yang bermula 11.45 malam itu, kira-kira 25 premis di sekitar bandar raya Kota Kinabalu mengalami kerosakan termasuk cermin pecah apabila sekumpulan enam remaja menaiki tiga kenderaan melepaskan tembakan.

Ia melibatkan 13 premis perniagaan di Karamunsing, sembilan di Luyang dan tiga bank di Inanam.



Polis telah mengkaji rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis yang terlibat dengan kejadian tembakan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu lewat malam Jumaat lalu dan memperoleh sedikit maklumat mengenai suspek dan laluan yang digunakan mereka.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.


Hasil pemeriksaan awal ke atas rakaman CCTV itu mendapati perbuatan itu dilakukan sekumpulan remaja yang menaiki kenderaan serta menggunakan senapang angin berpeluru ‘ball bearing’ dan guli, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

“Namun terlalu awal untuk membuat pengesahan sama ada penjenayah terdiri daripada individu, kumpulan penjenayah atau tindakan sesetengah pihak yang sengaja menggunakan cara berkenaan untuk menggusarkan masyarakat,” lapor agensi berita Bernama.

Hamza berkata polis sedang menyiasat dan melihat dari semua sudut serta tidak menolak sebarang maklumat yang disalurkan selain mengadakan sekatan jalan raya dan Ops Cantas Khas bagi menyelesaikan kes itu.

Beliau berkata pihaknya akan menyiasat dengan lebih terperinci berhubung penggunaan senapang angin berpeluru guli atau lastik mahupun senjata yang telah diubah suai bagi tujuan khianat itu.

“Apa yang saya dapat sahkan ialah laporan berkaitan kejadian kerosakan dan pecah cermin itu memang benar tetapi bukan menggunakan peluru senjata api tetapi senapang angin berpeluru bolbering dan guli,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada insiden tembak-menembak seperti yang dilaporkan di media sosial kerana premis yang didakwa berlakunya kejadian itu tidak wujud dan gambar yang tersebar juga adalah tidak betul.

“Ini mungkin tindakan mereka yang tidak senang melihat kestabilan dan keamanan negeri ini dan cuba mengganggu-gugat keamanan di negeri ini,” katanya sambil menambah agar orang ramai tidak gusar dengan kejadian itu.

Katanya laporan insiden tembakan adalah fitnah dan sasaran penjenayah terbabit hanya kepada premis dan bukan manusia.

“Berita mengenai suspek sudah diberkas juga adalah tidak benar sebaliknya ia mungkin disebarkan oleh orang ramai yang panik dan gusar atau mengambil kesempatan. Tiada kejadian terbaru dilaporkan setakat malam tadi,” katanya.
Share on Google Plus

Admin Sofinah Lamudin

Admin blog ini berasal daripada Wilayah Persekutuan Labuan. Sebarang cadangan, kerjasama, persoalan, periklanan, tempahan perkhidmatan boleh hubungi alamat emel ini - labuanblogger@gmail.com .

0 Komen:

Post a Comment

Saya selaku admin blog ini tidak bertanggungjawab atas sebarang komen yang dibuat oleh pembaca. Sebarang komen berunsur negatif akan di padam dan sila hubungi saya di alamat emel : labuanblogger@gmail.com jika terdapat sebarang komen negatif dalam blog ini yang belum dipadamkan. Sekian terima kasih.